Jika Rabiulawal bererti bermulanya musim bunga bagi tanaman maka
Rabiulakhir pula ertinya musim bunga yang akhir. Bulan ini merupakan
peringkat akhir bagi tanaman-tanaman berbunga.
Pada waktu itu
biasanya tanaman-tanaman di Tanah Arab akan mengalami peringkat akhir
berbunga sebelum musim sejuk tiba. Selain dari Rabiulakhir, bulan ini
juga dipanggil dengan nama Rabiul Thani yang membawa pengertian yang
sama.
Perlu diketahui bahawa itu adalah gelaran nama bagi
satu-satu bulan yang pada asalnya nama itu sudah wujud sebelum
kedatangan Rasulullah s.a.w lagi dan setelah Rasulullah mendapati
nama-nama bulan itu tidak memberi makna yang buruk maka Rasulullah s.a.w
mengekalkannya. Maka sebenarnya nama Rabiulakhir itu sendiri tidak ada
perkaitan dengan ketetapan musim bunga atau buah kepada tanaman.
Cuaca,
iklim, suhu dan musim adalah berkait rapat dengan peredaran matahari
dan bintang-bintang lain sedangkan takwim Islam Qamari adalah
berlandaskan kepada peredaran bulan mengelilingi bumi.
Kesimpulannya,
Rabiulakhir yang bermakna musim bunga yang akhir tidak dapat dikaitkan
dengan musim bunga sebenarnya, ia hanya sekadar nama bagi bulan itu
sendiri.
Antara peristiwa-peristiwa penting dalam bulan
Rabiulakhir :-
1. Peperangan - ada beberapa peperangan yang dicatat
berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w yang berlaku di bulan Rabiulakhir di
antaranya Peperangan Najran, Pengusiran kaum Yahudi Bani Nadir,
Peperangan Al-Ghabah / Zi-Qarad dan Peperangan Al-Ghamar.
2.
Pengepungan Damsyik - pada zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a
diketuai oleh Abu 'Ubaidah bin Al Jarrah dan Khalid bin Al Walid r.a
tahun 14 Hijrah dan seterusnya membawa kepada pembukaan Damsyik.
3.
Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a meninggal dunia dan Sayidina Umar
Al-Khattab r.a di bai`ah menjadi Khalifah yang kedua.
4.
Peperangan Jamal - tahun fitnah di mana Sayidina Aisyah r.a terheret
dalam kancah peperangan menentang Khalifah Ali r.a.
5. Ramai
sahabat-sahabat yang gugur syahid antaranya Talhah r.a dan Ibnu Zubir
r.a.
6. Imam Ghazali meninggal dunia.
7. Ada pendapat yang
mengatakan 27 Rabiulakhir adalah tarikh Israk dan Mikraj Rasulullah
s.a.w (tarikh difardukan solat). Namun begitu tarikh yang masyhur dan
yang diguna pakai di Malaysia ialah 27 Rejab. Sehingga sekarang masih
belum ada kajian rasmi individu atau pihak tertentu yang menyemak
kembali tarikh sebenar Israk dan Mikraj Rasulullah s.a.w.
Fadhilat
:-
Amalan-amalan ibadat sama ada yang fardu mahupun yang sunat di
bulan Rabiulakhir adalah sama dengan bulan-bulan yang lain. Tiada
amalan-amalan yang khusus yang dianjurkan oleh Islam dalam bulan ini.
Walau bagaimanapun, kita diminta untuk meningkatkan amalan dari masa ke
semasa walau dalam bulan mana sekalipun.
Terdapat banyak lagi
amalan sunat yang masih kita tidak lakukan atau tidak berkesempatan
melakukannya. Maka pada bulan ini adalah masa yang sesuai untuk kita
mengamalkan ibadah-ibadah sunat yang kita tidak berkesempatan untuk
melakukannya sebelum ini.
Disamping kita menjaga dan meningkatkan
kualiti amalan-amalan wajib, kita juga mesti cuba memperbanyakkan
amalan-amalan sunat yang kita ketahui. Amalan-amalan sunat adalah
penampung atau pelengkap kepada amalan-amalan wajib kita.
Di
antara amalan-amalan sunat yang menjadi amalan Rasulullah s.a.w
sepanjang tahun ialah solat tahajjud, solat qabliah dan ba`diah, puasa
Isnin / Khamis, sedekah, membaca Al-Qur`an dan lain-lain lagi.
SUMBER
: http://www.al-azim.com/masjid/rabiulakhir/home.htm#peristiwa
Tidak ada komentar:
Posting Komentar